Cari Blog Ini

Halaman

Selasa, 16 November 2010

Pengalaman 'Ditindih Hantu' semasa tidur.

“Ish… apasal badan aku tak boleh gerak ni?” Zaid bermonolog dalaman. Terasa badannya ditindih sesuatu, langsung tak boleh digerakkan. Jantungnya berdegup kencang. Nak menjerit, suaranya langsung tak keluar seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Zaid cuba membaca ayat-ayat kursi. Diulangnya beberapa kali.

Alhamdulillah kini badannya boleh digerakkan. Pucat lesi muka Zaid mengenangkan peristiwa ditindih hantu itu. Bukan pertama kali dia mengalaminya, sudah acap kali. Tapi dia tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Soalan saya, pernahkan korang alami peristiwa ditindih hantu ni? Mesti pernah kan? Mereka yang tak tahu akan mereka-reka cerita bahawa mereka ditindih hantu. Mereka menokok tambah dan membesar-besarkan cerita itu kerana mereka sendiri tak tahu penjelasan saintifik mengenai kejadian itu.

Jom ikuti penjelasan saintifik perubatan oleh Dr. Harris

Menurut Dr. Harris, sebenarnya apa yang berlaku itu merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).

Apabila mula sedar dari tidur, Sistem Pengaktifan Retikular (RAS) ‘dihidupkan’ kembali, namun adakalanya otak mengambil sedikit masa untuk mencetus isyarat elektrikal kepada keseluruhan fungsi tubuh. Itulah yang membuatkan seseorang mendapati dirinya tidak boleh bercakap atau menggerakkan anggota badan.

Apakah simptom-simptomnya? Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.

Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.

Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).

Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan.

Sejak berkurun, ia terjadi pada manusia dan dipanggil Fenomena Hag. Walaupun kesannya menimbulkan keresahan dan ketakutan, tiada risiko atau ancaman fizikal boleh berlaku.

Dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.

Ditindih atau paralisis?
Hamzah Abdul Hamid
KOSMO, 2 Ogos 2009

Mesti setiap orang ada pengalaman tersendiri. Apa pula cerita korang pasal ditindih hantu ni?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan