Cari Blog Ini

Halaman

Sabtu, 13 November 2010

Tenkorak Di Atas Kubur

Ketika itu malam kelam. Aku dan kawan-kawan menyeberangi lautan malam yang serba seram. Ya, macam lautan malam ini sebab angin sangat kuat. Songkok kawanku yang bernama Ahmadul Irfi Al-Alawiyah terbang ditiup angin kencang.

"Oh, Songkokku terbang!" Jerit Ahmadul Irfi Al-Alawiyah. Pelik ya, namanya ada tanda sengkang.

Ahmadul Irfi terus mendapatkan songkoknya. Sementara itu, aku dan seorang kawanku yang lain iaitu, Isnin Aedul Kamis menunggu di bawah sepohon kemboja. Bau harum pokok kemboja mengingatkan aku bahawa kami sekarang berada di tepi sebuah kawasan perkuburan yang gelap, berasapkan embun dan kabus, pada malam sekitar jam 11.

"Oh, kepala terbang! Oh, rambutnya panjang!" Tiba-tiba aku terdengar suara Ahmadul Irfi. Tidak jelas. Siulan angin kencang menyebabkan kami tidak dapat mendengar suara Ahmadul Irfi dengan jelas. Cuma terasa seram sejuk ke tulang sumsum kerana sapaan angin dingin.

"Aaa, apa dia kata?" Aku bertanya.

"Kapal terbang agaknya," duga Isnin.

"Tetapi agak aneh ya, kenapa kapal terbang, selepas itu rambut panjang?" Aku mula menganalisis keganjilan maklumat yang samar-samar diterima itu.

"Agaknya ribut taufan," duga Isnin lagi.

"Kapal terbang dan ribut taufan. Kedua-dua perkataan ini logik," ujarku.

"Lari! Lari! Aku ternampak kepala terbang, rambutnya panjang!" Jerit Ahmadul Irfi.

"Astagfirulahazim. Kenapa begitu pelik perkataanmu Irfi. Tahyul semua itu," terang-terang aku menegur Ahmadul Irfi.

"Betul. Aku tidak menipu! Ini bukan dusta. Bukan juga 'cobaan'!" Wajah Ahmadul Irfi memaparkan kejujuran. Aku mulai percaya. Aku percaya Isnin Aedul Kamis juga mempercayai kata-kata Ahmadul Irfi. Mustahil dia dusta. Dia sahabat kami. Sahabat tidak akan membohongi sahabatnya yang lain.

Krak! Krakak! Krak! Krakak! Kami terdengar bunyi seakan-akan gigi berlaga. Seolah-olah bunyi ranting patah pun ada juga. Bunyi itu datang, ya Allah, dari kawasan perkuburan!

Kami melihat sekitar perkuburan. Kelihatan kepala-kepala tengkorak menjelma di atas kubur.

"Lihat, di sana ada tengkorak!" Jerit Isnin Aedul Kamis sambil menunding jari kanannya ke arah kawasan perkuburan.

"Iya, aku nampak," jawabku. Kami bertiga saling-pandang memandang.

"Apa kita mahu buat sekarang?" Isnin terpaku, ternganga mulutnya semasa menutur persoalan yang agak kurang bijak itu.

"Apa lagi, mari kita lari!" Aku dan Ahmadul Irfi serentak memberi pendapat. Kami segera berlari.

Sedang kami berlari, kami ternampak Wak Sunan sedang bersiul-siul riang sambil mengayuh beca tuanya. Apa ini, mengayuh beca di tengah malam?

"Wak lari wak, di sana ada tengkorak!" Jeritku kepada Wak Sunan yang masih leka mengayuh pada malam hari yang gelap.

"Apa mahu takut? Jika tengkorak aku tidak takut. Jika burung wak-wak, ha, itu aku takut," ujar Wak Sunan, bersendaloka.

Mendengar jawapan itu, kami terus berlari. Amaran sudah diberi, terpulanglah kepada Wak Sunan mahu mendengarnya atau tidak.

Esok hari, satu kampung heboh. Wak Sunan hilang. Hilang dan terus hilang hingga ke suatu tarikh yang tak dapat ditentukan.

SEKIAN.

Karya: Amiene Rev

Tiada ulasan:

Catat Ulasan